Pages

Rabu, 29 Jun 2011

Ada cinta dihati mereka...(^__^)

Semalam di pasaraya. Tempat sesak, ramai sekali manusia berpusu-pusu di dalamnya. Masing-masing ada tujuan dan destinasi tersendiri. Ada yang berseorangan. Lebih ramai yang datang berpasangan. Kebanyakan daripada mereka datang berkumpulan, dengan keluarga atau teman-teman.

Mata aku asyik memerhati gelagat dan telatah orang-orang yang lalu lalang. Aku selalu begitu, aku suka memerhati. Bukan untuk mengintai aib orang tetapi aku suka melihat gelagat manusia, terutama di tempat ramai dan terbuka. Cuba menilai dan mengambil pengajaran.

Tersenyum aku melihat babak yang cukup menyentuh hatiku. Troli masih ditolaknya. Namun kakiku memperlahankan langkah. Sementara rakanku masih ralit memilih roti untuk dibeli. Aku pula asyik memerhati pasangan yang sedang berjalan melintasi aku dari kiri.

Pasangan datuk dan nenek berjalan berpimpingan tangan, bersenda mesra. Ada bahagia pada wajah dan gerak geri mereka. 'Bahagia yang semulajadi', aku dengar suara hatiku menyakinkan. Bahagia yang bukan dibuat-buat, bahagia yang tulus dari cerminan hati keduanya.

Entah apa usikan datuk itu sehingga kedengaran tawa si nenek yang masih erat tangannya dalam genggaman. Perlahan tawa si nenek, tapi cukup membangkitkan rasa bahagia untuk mereka dan aku yang sedang 'mengintip' mereka. Ada CINTA di hati mereka. Mereka berlalu pergi. Tangan keduanya masih erat dalam genggaman. Mereka tersenyum, dan aku juga turut tersenyum. Semoga mereka terus berCINTA hingga ke syurga.

Melepaskan pandangan daripada pasangan romantik yang telah berlalu pergi, aku dikejutkan pula dengan tangisan kuat seorang kanak-kanak lelaki yang berusia dalam lingkungan lima tahun tidak jauh dari tempat aku berdiri. Anak kecil itu berlari lalu memeluk kaki seorang lelaki yang sedang berdiri berdekatannya, betul-betul di hadapannya.
 
Dalam esakan si anak bercerita, rupanya lelaki yang dipeluknya adalah si ayah. "Tadi terjatuh, sakit", cerita si anak dalam sedu sedan. Lalu si ayah tunduk memeluk anaknya dalam dakapan, ditepuk mesra belakang si anak, memujuk. Anak kecil itu kelihatan tenang dalam pelukan ayahnya, lalu esak tangis mengendur, perlahan. Ada CINTA di hati si ayah.

Lenguh berdiri, aku menyorong troli ke food court. Lalu aku duduk, kakiku agak lenguh kepenatan. Bertentangan dengan mejaku, sebuah keluarga sedang asyik menjamu selera. Mataku tertancap pada si kecil, perempuan berusia sekitar lima tahun, bertudung litup. Comel! Tapi wajahnya tidak kelihatan jelas, kerana si kecil menundukkan muka ke meja.

Aku perhatikan pula si kakak yang berada di sebelah adiknya, tidak jauh beza umurnya yang juga bertudung litup. Si kakak membisikkan sesuatu kepada adiknya sambil menunjuk makanan yang terhidang. Rupa-rupanya si adik sedang merajuk dan si kakak pula sedang memujuk. Sesekali si kakak berbisik lagi sambil menepuk lembut bahu si adik, memujuk tanpa putus asa. Ada CINTA di hati anak itu.

Subhanallah, indahnya CINTA. Ia ada di mana-mana. Cinta punyai kuasa yang cukup hebat, dahsyat. Cinta suami pada isteri, cinta ayah ibu kepada anak, cinta kakak kepada adik, cinta sahabat kepada sahabatnya. Banyak, luas, kaya sungguh manusia dengan cinta.